Gunners bangkit, kembali fokus kejuaraan Liga Perdana


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger boleh kembali memberi perhatian terhadap perebutan kejuaraan Liga Perdana selepas Gunners membelasah Leyton Orient 5-0 dalam perlawanan ulangan pusingan kelima Piala FA dan layak ke suku akhir.

Gunners mendapat faedah besar selepas Chelsea menang ke atas Manchester United Selasa lalu dan mereka kurang satu perlawanan.

Ini bermakna peluang Arsenal terletak di dalam tangan mereka sendiri.

''Bagi kami ia memberi kami lebih banyak peluang dalam mengejar kejuaraan Liga Perdana musim ini.

''Saya berasakan, tidak kira apa yang terjadi (keputusan melibatkan United), sama ada mereka seri atau kalah, ia tetap memberikan kebaikan kepada kami. Kini semuanya bergantung kepada kami sendiri.

''Saya telah katakan perkara ini sejak sekian lama. Ia bergantung kepada tahap konsisten dalam mencapai kemenangan. Ia akan menentukan peluang kejuaraan kami, " kata Wenger.

Skuad bimbingan Wenger akan berdepan Sunderland hujung minggu ini dan Nicklas Bendtner meledak hatrik ketika menang besar ke atas pasukan yang beraksi dalam Divisyen Tiga, Orient.

Kemenangan itu cukup penting sebagai tanda bahawa mereka telah bangkit daripada kekalahan mengecewakan di tangan Birmingham pada perlawanan akhir Piala Liga di Wembley.

''Kami adalah pemain profesional. Selepas kekecewaan yang melanda kami Ahad lalu, perlawanan ini amat penting buat kami.

''Kami tahu kami akan berdepan banyak kesukaran ketika berdepan United, tetapi kami akan mengambil serius perlawanan ini.

"Apa yang penting kami perlu fokus kepada perlawanan dengan Sunderland terlebih dahulu, " kata Bendtner.

Minggu depan, Arsenal juga akan bertandang ke Nou Camp bagi menghadapi Barcelona dengan membawa kelebihan tipis 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara.

Robin van Persie terlepas berpeluang untuk beraksi dan terpaksa direhatkan kira-kira tiga hingga empat minggu kerana kecederaan lutut.

Tomis Rosicky tercedera ketika bertemu Orient tetapi tidak serius dan ketua pasukan Cesc Fabregas hampir pulih sepenuhnya daripada masalah hamstring.

''Saya harap Cesc sempat pulih untuk perlawanan Selasa ini dan dia mempunyai peluang besar untuk bermain di Barcelona.

''Namun saya tidak fikirkan dia akan bermain pada Sabtu ini. Kami akan memantau tahap kecergasannya sebelum membuat sebarang keputusan, " kata Wenger. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)

Comments

Popular posts from this blog

Sumbu yang basah

Let's go Gunner - Ozil