Bendtner ledak hatrik





Gunners temu musuh tradisi Man Utd pada saingan suku akhir

LONDON: Hatrik Nicklas Bendtner membantu Arsenal membelasah Leyton Orient 5-0 pada perlawanan ulangan pusingan kelima Piala FA dan Manchester City pula menewaskan Aston Villa 3-0 untuk turut mara ke suku akhir, kelmarin.

Marouane Chamakh dan Gael Clichy adalah dua lagi penjaring untuk Arsenal dalam aksi di Stadium Emirates itu yang menyaksikan mereka bangkit daripada kekalahan mengejut 2-1 kepada Birmingham dalam final Piala Liga Sabtu lalu, untuk menempah saingan suku akhir menentang Manchester United pada 12 Mac ini.

City akan menjadi tuan rumah kepada kelab Liga Kejuaraan, Reading sehari kemudian selepas pasukan Liga Perdana Inggeris yang berbelanja besar itu menewaskan kelab lemah, Villa hasil jaringan oleh Yaya Toure, Mario Balotelli dan David Silva.

Perlawanan Stoke-West Ham dan Birmingham-Bolton adalah aksi suku akhir lain untuk kejohanan kalah mati yang popular itu.

"Ia adalah penting untuk kami memberikan reaksi malam ini selepas apa yang berlaku pada hujung minggu (menentang Birmingham) dan kami melakukannya dengan cara yang profesional," kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Chamakh menjaringkan gol peribadinya ke-12 musim ini - dan yang pertama sejak akhir November - apabila dia melakukan satu penyudah kemas pada minit ketujuh ekoran larian pantas Tomas Rosicky, yang dikeluarkan pada babak kedua selepas mengalami gegaran akibat disiku di kepala.

Wenger berkata, pemain tengah veteran dari Republik Czech itu tidak mengalami kecederaan serius, bermakna dia tidak akan menyertai senarai panjang kecederaan pemain Arsenal yang termasuk Cesc Fabregas, Robin van Persie, Theo Walcott, Thomas Vermaelen dan Lukasz Fabianski. - Reuters


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)

Comments

Popular posts from this blog

Sumbu yang basah

Let's go Gunner - Ozil