Gunners sedia bedil benteng Barcelona

BARCELONA - Arsenal yakin ketiadaan pertahanan tengah Barcelona, Carlos Puyol dan Gerard Pique bakal menjadi kunci penting untuk Gunners mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, esok.

Skuad Arsene Wenger, yang seri 2-2 dalam pusingan pertama suku akhir di Emirates minggu lalu, dibebani masalah kecederaan ketua pasukan, Cesc Fabregas dan pertahanan Perancis, William Gallas, yang terpaksa berehat kerana kecederaan.

Namun, Gunners percaya ketiadaan Puyol dan Pique yang beraksi pada perlawanan La Liga lebih 4,000 minit musim ini, memberi kelebihan untuk menundukkan penyandang juara itu di Nou Camp.

Puyol dibuang padang kerana terjahan keras ke atas Fabregas di Emirates, manakala Pigue turut melakukan kesilapan sama.

"Mereka beraksi tanpa tonggak pertahanan tengah dan ia merupakan situasi yang sukar buat mereka namun kelebihan buat kami.

"Semua orang menjangkakan ia perlawanan sukar buat kedua-dua pasukan, namun kami tetap berfikir kami mampu melakukannya.

''Ia merupakan trofi yang kami mahukan dan untuk menang Liga Juara-Juara, anda harus menewaskan pasukan terbaik terlebih dahulu," kata penyerang Arsenal, Nicklas Bendtner.

Sementara itu, pemain pertahanan Barcelona, Eric Abida pula menyatakan, pasukannya harus menang ke atas Arsenal, berbanding menumpaskan musuh ketat Real Madrid dalam pertembungan 'El Clasico' Sabtu ini.

Ketika pertembungan hangat di antara Barcelona dan Real Madrid, yang bakal menjadi penentu kalendar La Liga, Liga Juara-Juara tetap menjadi keutamaan apabila mereka bertemu Arsenal.

"Perlawanan dengan Arsenal lebih penting berbanding menumpaskan Madrid.

''Pencapaian kami musim kami bergantung kepada perlawanan minggu ini, malah ia akan bertambah baik, jika kami tiba dia Bernabeu nanti dengan nasib telah pun memihak pada kami layak separuh akhir Liga Juara-Juara nanti," jelas Abidal.

Kemenangan Barcelona 4-1 ke atas Athletic Bilbao Sabtu lalu, menunjukkan kelab itu masih bersaing secara mata dengan Real Madrid dalam kedudukan teratas Liga.

"Jika kami tewas kepada Madrid sekali pun, masih ada baki perlawanan lain yang boleh memberikan kami ruang untuk kembali merebut kejuaraan, tetapi menentang Arsenal amat penting..

"Theo Walcott memberi kesan besar apabila dia diturunkan pada perlawanan pertama, namun kami tidak menghiraukannya.

''Dia mungkin mampu berlari 100 meter dalam masa 10 saat, namun permainan ini adalah menjaringkan gol.

"Kami akan tunggu dan lihat sama ada dia mampu melakukan demikian, mengatasi empat pemain pertahanan kami," kata Abidal.

Jurulatih Barca, Pep Guardiola memerlukan gandingan pemain tengah yang baru dan seperti Gabi Milito, Dmytro Chygrynskiy dan Yaya Toure.

Namun, berita baik buat kelab itu apabila Iniesta telah pun kembali menjalani latihan dan mungkin akan kembali.

Zlatan Ibrahimovic, yang menjaringkan kedua-dua gol pada pertembungan London, tidak beraksi akibat kekejangan paha ketika sesi memanaskan badan ketika menentang Bilboa.

Ia bakal menjadi pertembungan penuh emosi Thierry Henry apabila menentang bekas kelabnya, tetapi dia terpaksa bersaing dengan pemain muda, Bojan Krkic yang menjaringkan dua gol, Sabtu lalu, serta Pedro Rodriguez.

Perlawanan esok juga merupakan pertembungan antara Lionel Messi, yang berjaya meledakkan 26 gol di La Liga musim ini dan Walcott, yang menjaringkan gol pertama Arsenal di Emirates. - AFP

(Dipetik daripada Utusan Online)

Comments

Popular posts from this blog

Sumbu yang basah

Let's go Gunner - Ozil