Detik penentuan buat Barca

Temu Arsenal, Real dalam tempoh empat hari

MADRID: Barcelona menempuh detik getir minggu ini dengan dua halangan besar – pertama bertemu Arsenal dalam perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah dan kemudian berentap musuh tradisi, Real Madrid dalam saingan liga – segala-galanya akan berlaku dalam tempoh empat hari yang padat.

Pertemuan menentang anak didik Arsene Wenger di Nou Camp, awal pagi esok harus menguji karektor gergasi Sepanyol itu kerana keputusan seri 2-2 di Stadium Emirates, minggu lalu hanya menyuntik semangat kepada pelawat menyingkirkan juara bertahan itu.

Satu lagi perlawanan menemukan wakil Russia, CSKA Moscow menentang juara Serie A, Inter Milan pimpinan Jose Mourinho dengan pelawat hadir berbekal modal kemenangan 1-0.

Apa yang ketara, kedua-dua pengendali – Pep Guardiola (Barcelona) dan Wenger terpaksa merombak barisan kesebelasan kerana dilanda masalah kecederaan dan penggantungan permainan.

Barcelona akan turun tanpa penyerang, Zlatan Ibrahimovic dan bek tengah, Gerard Pique dan Carles Puyol manakala Arsenal jelas menderita tanpa inspirasi ketua pasukan, Cesc Fabregas dan Andrei Arshavin.

Apapun, Wenger tampak yakin barisan bintang miliknya ada semangat jitu untuk muncul juara dalam edisi kali ini dan kerana itu dia tidak meragui kemampuan barisannya dapat melepasi antara ujian terbesar bagi kelab itu dalam sejarah penyertaan mereka.

Jaringan Nicklas Bendtner pada minit-minit terakhir ketika menewaskan Wolves 1-0 dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu sekali lagi menyalakan impian The Gunners mereka ada perwatakan mengejar salah satu trofi musim ini.

“Inilah semangat yang kami perlukan di Barcelona. Ia ada kaitan dengan mental pasukan,” kata Wenger.

Barcelona pula membelasah Athletic Bilbao 4-1, Sabtu lalu dan ini harus memberi satu keyakinan kepada Lionel Messi dan rakan sepasukan untuk menjerat Arsenal di halaman sendiri.

“Tidak dinafikan perlawanan ini (menentang Arsenal) adalah terpenting musim ini,” kata jurulatih, Guardiola. “Ia lebih penting daripada perlawanan di Bernabeu (menentang Real).” – Agensi

(Dipetik dari Berita Harian)

Comments

Popular posts from this blog

Sumbu yang basah

Let's go Gunner - Ozil