Wenger puji prestasi

BOLTON , England - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya pasukannya kini semakin mantap untuk menyaingi gelaran bola sepak Liga Perdana England.

The Gunners setakat ini mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam Liga Perdana termasuk kemenangan 3-1 di Bolton, kelmarin.

Sekalipun pemain-pemain seperti Cesc Fabregas, Theo Walcott, Denilson, Alexandre Song, Gael Clichy dan Nicklas Bendtner masih muda, namun mereka telah menimba banyak pengalaman dalam kancah liga.

Tanpa satu gelaran liga sejak 2004, Wenger berasa bahawa skuad belianya semakin matang dan mampu memberi cabaran kepada lawan seperti Chelsea dan Manchester United sepanjang masa.

"Anda sepatutnya sentiasa boleh bertambah baik dan ia satu perkara yang bagus. Kami sentiasa mahu meningkat.

"Pasukan ini memiliki kekuatan dan penguasaan hebat. Sebab itu saya amat menggemarinya.

"Kami tidak gelabah jika ketinggalan dan bertindak balas dalam satu cara yang amat kuat bagi sebuah pasukan semuda ini.

"Kami memiliki satu cita-cita yang amat kuat untuk tidak mengaku kalah.

"Tahun lalu kami begitu hampir dengan kejuaraan dengan empat mata di belakang Manchester United.

"Ayuh, kita lalui perlawanan satu persatu dan tunjukkan kualiti. Kesungguhan itu ada dan saya percayakan kualiti pasukan saya," katanya.

Wenger turut percaya pasukannya mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk terus bersaing.

Dalam pada itu, Wenger masih menanti perkembangan kecederaan tulang kering yang dialami bek kirinya, Clichy.

Benteng Perancis itu cedera dalam satu saingan dengan Kevin Davies di Stadium Reebok sebelum menjalani ujian imbasan.

"Ia satu persoalan berkaitan hari. Jika kecederaan itu mengakibatkan tulang patah peluangnya sudah berlainan," ujar Wenger.

Davies membawa Bolton mendahului kurang daripada suku jam perlawanan tetapi Emmanuel Eboue dan Bendtner memadamkannya dengan dua gol dalam tempoh seminit dan Denilson menambah gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Bolton hanya menang sekali dalam enam perlawanan pembukaan mereka sepanjang persaingan tetapi pengurus, Gary Megson yakin dengan peluang pasukannya.

"Ramai orang menampilkan permainan terbaik mereka musim ini menentang Arsenal.

"Saya gembira dengan Davies dan dia membentuk musim ini dengan cemerlang dan dia mendapat tiga gol dalam lima perlawanan.

"Kami perlu meningkatkan permainan kami tetapi saya berharap kini bahawa setiap orang menyedari kami memang perlu meraih mata yang diperlukan dan jenis permainan yang kami mahu mainkan.

"Kami perlu mendapatkan sedikit kualiti supaya kami mendapat peluang itu, kami menjaringkan gol tetapi berkesudahan dengan kisah yang kurang bernasib baik," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Sumbu yang basah

Let's go Gunner - Ozil